BLOG Fiksyen Sains Islami

BLOG Serdadu Digital

LAMAN FB SAGA GALAKSI MUHSININ

Saturday, December 26, 2009

Tidak Perlu Lagi Nisan

Sebuah Pemerhatian Peribadi

Saya teringat satu perbualan dengan seorang sahabat baru-baru ini. Kami sedang minum malam di Gombak, tidak jauh dari kampus UIAM.

Saya berkata, “Kau ingat aku cerita tentang Imam Shamil?”

“Imam Shamil yang mana?”

Balas saya, “Imam Shamil, pemimpin mujahidin di Chechnya.”



“Bila? Zaman sekarang?” tanya beliau kembali.

“Bukan. Tahun 1860.”

“Oh, kalau 1960, itu zaman (Syeikh) ibn Alawi (ayah kepada Syeikh Muhammad, ulama besar Mekah).” Ia tersilap dengar.

Jawab saya, “Eh, bukan. Tahun 1860-an.”

Atas: Pertempuran terakhir Imam Shamil di Ghunib, 1859

“1860? Bukankah itu zaman Wahabi?”

Saya mengangguk. “Lebih kurang. Tidak jauh daripada zaman itu.”

“Haa, kenapa?”

Kata saya, “Imam Shamil, setelah beliau dibuang ke Rusia, beliau berangkat ke Mekah menunaikan Haji pada akhir usianya.”

“Oh, begitu?”

“Ya. Apabila beliau tiba di Mekah, masyarakat dan ulama Mekah menyambutnya dengan meriah.”

“Kenapa?”



“Imam Shamil telah berjihad selama 30 tahun sejak 1830 menentang Rusia. Dan beliau terkenal di segenap pelosok umat Islam ketika zaman itu.”

Beliau memberi respon, “Oh, begitu.”

“Apa yang istimewa ialah, apabila Imam Shamil wafat, beliau telah dikebumikan di Baqi’.”

“Hebat!”

“Hebat tidak hebat Imam Shamil, bukan sembarangan orang. Tentulah telah mendapat pengiktirafan daripada para ulama, terutama ulama Mekah untuk dikebumikan di Baqi’. Engkau pun tahu, Baqi’ adalah tempat perkuburan para sahabat Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam.”

Sahabat saya mengeluh, “Ya, kalau zaman itu, adalah zaman kegemilangan ulama di Mekah. Tapi sekarang... kalau kita ke sana kita tidak tahu lagi siapa empunya kubur.”


Saya mengecengkan mata, “Kerja Wahabi, siapa lagi!”

Sahabat menggelengkan kepala, “Melampau sangat. Lihatlah, bagaimana kita dapat mengenal di manakah para sahabat dikebumikan? Zaman fitnah itu mereka ratakan semua perkuburan para sahabat. Menghapuskan syirik konon!”

Sahabat saya berkata lagi, “Baiklah, buat pemuka-pemuka ini, ada baiknya kita pesan supaya mereka buat wasiat kepada ahli keluarga mereka. Kita pesan, kalau mereka meninggal dunia, terus tanam sahaja.”

Saya tergelak kecil, “Tidak perlu tahlil, talkin, kerana bagi mereka itu bid'ah. Bid'ah itu sesat dan sesat masuk neraka. Mereka meyakini doa kepada si mati bagi mereka tidak sampai! Sedangkan si mati itulah amat berhajat kepada doa-doa yang diharapkan untuk mereka.”

Sahabat saya berkata lagi, “Mereka dah musnahkan kesan persemadian (kubur) para sahabat, tidak perlu letak nisan pada kubur dia pun tidak apa.”



“Kalau para sahabat (semoga Allah merahmati mereka!) mereka buat seperti itu, apa lagi mereka, bukan? Kenapa bagi mereka nak buat lebih-lebih lagi daripada sahabat?”

Akhirnya sahabat saya membuat kesimpulan, “Paling-paling pun, pacak sahaja kayu di kubur mereka. Apa agaknya yang ahli keluarga mereka rasa?”



Fikir-fikirkanlah...



Entri yang berkaitan:

Aku di Persimpangan Jalan

Walaupun Tidak Hadir... Ada Hikmahnya

Kelibat Aneh Makhluk Tuhan

Miri (8): Malam Jemat

Perbalahan di Waktu Subuh




Lihatlah Kebenaran dengan Mata Hatimu

Berjasa Kepada Masyarakat



NOTA: Insya-Allah entri berkenaan perjuangan Imam Shamil dan mujahidin silam yang menjadi tunjang utama masyarakat pada suatu masa dahulu, yang telah terkubur dalam timbunan sejarah tanpa nisan, akan saya kupas pada masa akan datang.


Rujukan berkaitan:
1.Eeman (Dr.) Mohamed Abbas, (2007). Kajian Sejarah dan Pemikiran Dari Tahun (1876-1909 / 1293-1327H) Sultan ‘Abd al-Hamid II dan Kejatuhan Khilafah Islamiah (Peranan Gerakan Nasionalis & Golongan Minoriti). Pustaka Darus Salam: Batu Caves, Kuala Lumpur.

2.Muhammad Hamid, (2007). Imam shamil: The first muslim gerilla leader. The Other Press: Kuala Lumpur.

3.Sanders, T., Tucker, E., (Eds.) and Hamburg, G., (2004). Russian-muslim confrontation in the Caucasus: Alternative visions of the conflict between imam shamil and the russians, 1830-1859. RoutledgeCurzon: London.

4.Syeikh Sayyid Ahmad ibn Zaini Dahlamn al-Hasani, (2009). Fitnah wahhabi. Sofa Production: Ampang.

5.Zelkina, A., (2000). In quest for god and freedom: The sufi response to the Russian advance in the north caucausus. Hurst & Company: London.

7 comments:

Torpedo said...

Imam Syamil pernah menyerbu tentera Russia dalam satu pertempuran dengan melompat setinggi beberapa kaki (aku tak ingat) melepasi benteng tentera Russia yang begitu sukar dilakukan oleh orang biasa.

Azrul bin Jaini said...

Oh, terima kasih. Saya pernah membaca, Imam Syamil ataupun Imam Muhammad Ghazi (imam mujahidin yang pertama, guru kepada Imam Syamil) melompat dengan tinggi, dan sekelip mata sahaja di hadapan dua tentera Rusia yang sedang membidik nya dari jauh. Dua askar itu lantas terbunuh.

Saya berpendapat, bukan setakat Imam Syamil ataupun Imam Muhammad Ghazi sahaja yang ada kemampuan sebegitu, tetapi boleh jadi meliputi keseluruhan 'murid' ataupun mujahidin.

Kerana, mereka adalah orang yang hidup di pergunungan. Hidup mereka sukar dan mempunyai badan yang sihat lagi sasa. Tidak hairan, dengan kehidupan (hidup di kawasan pergunungan) ini (dan maklum tentunya adalah pertolongan Allah) mereka diberikan keistimewaan ini. Ada diceritakan sebuah batalion (atau ketumbukan yang bersaiz besar) terhenti apabila mereka cuba untuk melalui laluan di sebuah genting. Kemaraan mereka tergendala menghadapi 4 orang mujahidin sahaja! Allahu Akbar!

Dan amat malang bagi askar Rusia (yang terdiri daripada hamba -serf- Tsar) yang terdiri daripada petani yang dikerahkan secara paksa berhadapan dengan orang-orang yang bak singa pada siang hari, tetapi abid yang tekun pada malamnya; kerana Imam Muhammad Ghazi, Imam Hamzah Bek dan Imam Syamil, 'murid-muridnya' (mujahidin) serta umat Islam Kaukasus berpegang teguh dengan Quran dan Sunnah melalui jalan thariqah sufi Naqsyabandi Khalidiyah.

Perlu ditegaskan di sini, antara kekuatan mereka adalah masyarakat dibaiki dahulu dengan mengamalkan Quran dan Sunnah. Umat pada sebelumnya berpecah belah dengan 'adat' seperti zaman Arab jahiliyah; mereka berbalas dendam (vendetta). Pernah antara kaum berbalah dengan sebab seekor ayam dicuri sehinggakan berbalas dendam beberapa generasi. Islam telah dikuatkan pada zaman itu melalui thariqah tersebut, sehinggakan zaman Imam Syamil digelar sebagai zaman keemasan Chechnya-Daghestan sebagai "Era of Syariah," termasuk Orientalis dan penulis Barat.

Azrul bin Jaini said...

Membaca perjuangan Imam Syamil yang mewakili rakyat rantau Kaukasus, jika diamati mampu menitiskan air mata.

Apakah kepentingan mereka berjuang? Adakah kerana mempertahankan ketamakan kekuasaan ataupun sumber bumi ataupu pengaruh politik?

Mereka tinggal di kawasan pergunungan, yang hampir tidak ada apa-apa sangat pun kepentingan ekonomi. Yang ada adalah iman, maruah kebebasan dan kemerdekaan daripada penjajah yang mahu memadam sinar iman mereka. Iaitu sinar iman yang kental itulah yang dicemburui, dimusuhi dan mahu dihancurkan sama sekali. Mereka berjuang kerana iman, kerana iman, kerana iman yang ada di dada mereka.

Tiga puluh tahun mereka berjihad tanpa henti, saat mereka serba kekurangan, saat musuh memiliki segalanya. Tetapi, Allah telah menunjukkan Kekuasaan-Nya; selama puluhan tahun itu mereka bertahan. Dan musuh telah kehilangan ramai perwira mereka dan ribuan askar.

Hanya dengan pengkhianatan daripada dalam sahajalah, Imam Syamil dan perjuangannya telah tumpas. Tetapi Allah telah memberi kemuliaan kepadanya, beliau telah disemadikan di Baqi' bersama para sahabat!

Azrul bin Jaini said...

Saya berhasrat untuk menulis sebuah buku khas mengisahkan perjuangan Imam Syamil dan perjuangan umat Islam di kawasan lain.

Imam Abdul Qadir di Aljazair, jihadnya bersama rakyat Algeria menentang Perancis, 1830-1860.

Umar Mukhtar dan orang Sanusiyyah di Libya, berjihad selama 30 tahun menentang penjajahan Perancis dan Itali.

Mereka semuanya adalah di kalangan mujahidin sufi.

Torpedo said...

Saya sokong penuh usaha saudara untuk menulis kisah-kisah pejuang-pejuang Islam ini agar lapisan-lapisan terkini anak-anak muda masa kini kenal pejuang-pejuang Islam yang di mana zaman mereka tidak jauh banyak dari zaman kita. Mungkin kisah-kisah mereka ini lebih memberi kesan dan membangkitkan semangat jihad di kalangan mereka berbanding kisah-kisah zaman para Rasul dan sahabat kerana perbezaan zaman yang tidak jauh dan kesan-kesan sejarahnya masih boleh dilihat dan dialami secara jelas dengan fizikal dan mental kita.

Bukan saya mahu katakan kisah-kisah para Rasul dan Sahabat itu kurang berkesan. Jika dinilai dari kacamata saya, kisah pejuang-pejuang Islam masa kini, yang masih boleh dijejaki kita dengan mata dan pendengaran kasar lebih kuat pengaruhnya ke atas diri kita. Tapi bagaimanapun, kisah-kisah para Rasul dan para Sahabat masih tetap penting untuk dijadikan rujukan. Ah.. senang cakap, saling melengkapi antara satu sama lain. Ada pendapat lain?

Saya nak ulas sikit mengenai lompatan Imam Syamil itu, dia melompat melepasi dua orang tentera Russia yang telah mengepung rumahnya sebaik sahaja pintu rumah dibuka, kemudian dengan pedangnya yang tergenggam erat di tangannya, dia menebas tiga lagi tentera Russia sehingga terputus kepala-kepala mereka. Kemudian seorang dari tentera Russia sempat menikamnya dengan bayonet. Selepas itu dengan garang Imam Syamil dengan bayonet yang tertikam ke dadanya dan terkena sebahagian paru-parunya sempat lagi menebas kepala musuhnya itu sebelum melarikan diri. Beliau telah bertahan dengan kesakitan itu selama tiga hari sebelum mendapatkan rawatan dari ayah mertuanya yang merupakan seorang pakar perubatan.

Terdapat juga kisah yang lebih kurang sama yang dialami oleh seorang lagi pejuang Islam dari Turki abad lepas, Bediuzzaman Said Nursi. Ketika beliau dikepung oleh tentera Russia, beliau dengan beraninya menyerbu ke arah tentera Russia yang telah membina tiga lapisan benteng pertahanan. Beliau berjaya melompat setiap benteng-benteng tentera Russia itu dengan beraninya dan terus terjun ke dalam sebuah tali air.

Satu lagi kisah menariknya ialah ketika Bediuzzaman ditawan oleh tentera Russia. Rutin setiap pagi para tahanan di kem tersebut mereka perlu berdiri memberi hormat kepada seorang Jeneral Russia yang akan memeriksa perbarisan mereka. Namanya Jeneral Nikolas Nikolavich. Sewaktu beliau melintasi Bediuzzaman, dia berasa pelik kenapa Bediuzzaman tidak bangun. Memikirkan mungkin Bediuzzaman tidak perasan akan kehadirannya, Nikolas melintasinya beberapa kali supaya kehadirannya disedari oleh Bediuzzaman. Setelah disedari memang Bediuzzaman sengaja tidak mahu berdiri menghormatinya, Nikolas menyoalnya kenapa dia tidak berdiri. Bediuzzaman menjawab 'Aku tidak berdiri menghormati kamu kerana ia bercanggah dengan keimananku kepada Allah S.W.T." Lebih kurang begitulah dia cakap. Biasalah bila dah ingkar arahan, Bediuzzaman pun dihukum mati oleh tentera Russia. Para anak muridnya memujuk beliau supaya membuat rayuan tatapi Bediuzzaman tetap tegas dengn pendiriannya.

Pada saat beliau ingin dijatuhkan hukuman, dia meminta untuk menunaikan solat sunat sebelum dihukum. Nikolas memerhati segala tindak-tanduk Bediuzzaman yang tenang itu. Akhirnya Nikolas bertindak membatalkan hukuman tersebut. Dia menemui Bediuzzaman dan berkata " Kamu tidak menghormatiku kerana keimananmu terhadap Tuhanmu, dan aku menghormati keimananmu".

Azrul bin Jaini said...

Saya sokong pendapat saudara. Pada pandangan saya, mengetengahkan para pejuang ini sangat perlu. Seperti dalam entri saya yang lepas, berkenaan kesan role model terhadap jati diri, terutama remaja kita sendiri.

Saya juga faham maksud saudara, bukannya kita mahu mengenepikan cerita-cerita pada zaman para sahabat.

Bukankah para pejuang terdahulu adalah umat Nabi Muhammad sallallahu alaihi wassalam. Bukankah jika kita teliti secara umumnya, sejarah umat terdahulu (zaman Rasulullah dan para sahabat) menjadi janakuasa mereka yang hebat?

Mereka perlu diketengahkan; sebagai bukti bahawa umat Nabi Muhammad sallallahu alaihi wassalam bukanlah umat yang calang-calang. Perjuangan mereka tampak mustahil pada perkiraan akal. Tetapi berbekalkan iman, mereka juga telah harum dalam lipatan sejarah kita.

Saya maklum tentang Said Nursi Badiuzzaman seperti yang saudara maksudkan. Beliau bukan sahaja seorang ulamak, tetapi juga mujahidin yang berjuang mempertahankan agamanya. Beliau beberapa kali hampir-hampir melayang nyawanya. Tetapi Allah telah menetapkan yang lain untuknya. Beliau telah berjuang bermati-matian bersama briged sukarelawan jihad di medan Timur menghadapi tentera Rusia. :)

Azrul bin Jaini said...

Saudara, perenggan ketiga komen saya ada tertinggal perkataan. Maksud saya dalam perenggan tersebut ialah, Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam dan para sahabat tentunya adalah inspirasi tertinggi bagi mereka...